LETUPAN besar membabitkan lori gas di Haiti semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 62 mangsa, selepas orang ramai mengerumi kenderaan itu untuk mengutip minyak yang tumpah – komoditi berharga di negara yang berdepan masalah kekurangan petrol itu.
Letupan di bandar kedua Haiti, Cap-Haitien itu bencana terbaru melanda negara Caribbean yang miskin, tersepit dengan keganasan gangster dan masalah politik.
Perdana Menteri Ariel Henry melawat ke tempat kejadian, bekata beliau sedih melihat berpuluh-puluh orang cedera di hospital.
Gambar menunjukkan mayat rentung di lokasi kejadian, dengan bangunan di sekitarnya turut terbakar dalam letupan.
Orang ramai berkumpul di kawasan itu, di mana mayat dibiarkan di tepi jalan di dalam beg mayat.
“Kematian pada masa ini 62,” kata Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor, menambah pihak berkuasa mash mencari mangsa di bangunan berhampiran.
Lori itu dipercayai terbalik selepas pemandunya hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah teksi motosikal.
Jabatan perlindungan awam Haiti mengesahkan lori itu terbabas – dan orang ramai di sekitar kawasan itu bergegas cuba mengutip minyak.
“Susulan kemalangan itu, orang awam ambil peluang kutip minyak berkenaan – menyebabkan letupan besar membawa kepada kematian dan kerosakan harta,” katanya dalam satu kenyataan.
Almonor berkata kira-kira 40 rumah di kawasan itu turut musnah, tetapi tiada maklumat terperinci diperoleh dan jumlah mangsa. – AFP, 15 Disember, 2021.
Komen