Bantuan kemanusiaan China tiba di Afghanistan


Duta China ke Afghanistan, Wang Yu berkata China prihatin terhadap perkembangan di Afghanistan sejak sekian lama. – Gambar EPA, 14 Disember, 2021.

MAJLIS penyerahan barangan bantuan kecemasan kumpulan kedua China kepada Afghanistan diadakan di Kabul semalam yang turut dihadiri Duta China ke Afghanistan, Wang Yu serta Pemangku Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelarian Kerajaan Sementara Afghanistan, Arsala Khan Haruti.

Pada majlis itu, Wang Yu menyifatkan ia sebagai fasa bersejarah bagi Afghanistan, peralihan daripada huru-hara kepada ketenteraman walaupun negara itu masih menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang ekonomi, masyarakat dan kehidupan rakyat.

Beliau berkata China selaku jiran, saudara serta rakan kongsi sangat prihatin terhadap perkembangan di Afghanistan sejak sekian lama dan barangan bantuan musim sejuk yang meliputi 40,000 baju sejuk dan 70,000 selimut mencerminkan keakraban antara rakyat kedua-dua negara.

“China akan terus memperkukuh kerjasama melibatkan pelbagai sektor dengan Afghanistan berdasarkan prinsip kesaksamaan dan saling menghormati, menyokong pembinaan semula ekonomi dan pembangunan bermandiri Afghanistan bagi memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Wang.

Sementara itu,  Arsala Khan Haruti merakamkan penghargaan kepada China atas bantuan tersebut  dan berharap masyarakat antarabangsa memberikan sokongan yang sama seperti yang dilakukan China.

Tambah beliau, China memberikan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Afghanistan sejurus selepas penubuhan kerajaan sementara Afghanistan.

“Barangan bantuan musim sejuk ini akan diedarkan kepada rakyat Afghanistan yang memerlukan  agar mereka dapat mengharungi musim sejuk.

“Kami juga menyeru Amerika Syarikat dan negara Barat menarik balik pembekuan aset Afghanistan di luar negara secepat mungkin supaya krisis kemanusiaan dan masalah ekonomi yang dihadapi Afghanistan  dapat diselesaikan,” katanya. – Bernama, 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen