Tegur suspek tengok video lucah punca mangsa dipukul di MRSM Kuala Kangsar, kata polis


Polis Perak menahan 10 pelajar yang terlibat dan bersuhabat dalam kes buli di MRSM Sultan Azlan Shah baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2021.

KEJADIAN buli di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah baru-baru ini berpunca daripada tindakan mangsa menasihati seorang suspek supaya berhenti menonton video lucah, kata polis.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata teguran mangsa itu menyebabkan suspek tidak puas hati dan marah.

“Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.

“Mangsa mengatakan kalau tidak berhenti menonton video lucah dia akan mengadu dengan guru atau warden.

“Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak untuk memukul atau membuli mangsa,” katanya, seperti dipetik Harian Metro di Pasir Salak, hari ini.

Mior Faridalathrash juga berkata seorang pelajar Tingkatan 3 turut terlibat mengarah enam suspek memukul mangsa.

Pelajar Tingkatan 3 berkenaan antara 10 pelajar yang ditahan polis untuk siasatan iaitu termasuk sembilan pelajar Tingkatan 1 yang terlibat dan bersuhabat.

Mereka ditahan pada 10 dan 11 Disember dan dibebaskan dengan jaminan polis keesokannya.

Polis juga mengambil keterangan daripada lapan saksi kes serta merampas 11 telefon bimbit untuk membantu siasatan.

Kertas siasatan apabila selesai nanti akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, tambahnya.

Menurut Mior Faridalathrash, pihak polis menerima dua laporan berhubung kejadian iaitu satu daripada pengetua maktab dan satu lagi daripada bapa mangsa, selepas rakaman video kejadian tular di media sosial, minggu lalu.

Rakaman video yang tular menunjukkan beberapa pelajar mengepung dan menumbuk serta menendang seorang pelajar, sehingga mendapat kecaman orang ramai yang jijik dengan perbuatan buli itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM Sultan Azlan Shah yang bersidang meneliti kes itu mengambil keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar berkenaan, lapor Astro Awani.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Azhar Abdul Manaf dipetik berkata keputusan dibuat berdasarkan garis panduan pengurusan disiplin pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan bawah Mara,” katanya. – 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen