Isteri mohon laporan kehilangan Amri Che Mat didedah


Norhayati Mohd Ariffin memfailkan permohonan pada 9 Disember lalu, memohon Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) ditarik balik daripada laporan pasukan petugas khas berhubung kehilangan suaminya aktivis Perlis Amri Che Mat sejak 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2021.

ISTERI aktivis Perlis Amri Che Mat memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya laporan pasukan petugas khas berhubung kehilangan suaminya sejak 2016 didedahkan.

Norhayati Mohd Ariffin memfailkan permohonan pada 9 Disember, memohon Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) ditarik balik daripada laporan pasukan petugas khas itu, yang meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kehilangan Amri disebabkan penglibatan polis Cawangan Khas.

Mahkamah menetapkan 12 Januari untuk mendengar permohonan semakan kehakiman tersebut. Norhayati diwakili peguam Surendra Ananth, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada Mei 2019 menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin, bagi mengkaji laporan Suhakam yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Laporan pasukan  petugas khas itu diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Surendra dalam kenyataan hari ini berkata tiada sebab untuk kerajaan merahsiakan laporan berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan melanggar hak Norhayati untuk mendapatkan maklumat berkenaan kehilangan suaminya.

Norhayati sebelum ini memfailkan saman pada November 2019 terhadap 21 defendan termasuk kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua polis negara.

Beliau menuntut pelbagai relif, termasuk ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk untuk kerugian yang dialami akibat tindakan polis.

Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Suhakam mendapati kes kehilangan Amri mempunyai banyak persamaan dengan Pastor Raymond Koh yang diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10 in Petaling Jaya pada 13 Februari 2017.

Hasil inkuiri awam terhadap kehilangan Amri dan Pastor Koh yang bermula Oktober 2017, Suhakam merumuskan polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa dua individu berkenaan. – 14 Disember, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen