Paradoks analogi ‘chopsticks’


ANALOGI “chopsticks” yang digunakan Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai asimilasi kaum Cina di Malaysia kini menjadi wacana dalam kalangan politizen (warga politik – ahli, pengikut dan peminat politik).

Saya menonton rakaman video ulasan Dr Mahathir ini. Berdasarkan rakaman itu saya dapat menangkap konteks percakapan Dr Mahathir ialah politik.

Beliau menggambarkan bagaimana kaum Cina di Malaysia dapat menikmati amalan budaya mereka berbanding Cina di Indonesia yang mana bukan saja bahasa, malah nama individu turut dipaksa menggunakan nama dalam bahasa Indonesia, jika tidak Cina sebagai kaum minoriti di Indonesia akan jadi terasing di negara itu.

Ia berbeza dengan Cina di Malaysia yang bebas mengamalkan budaya mereka termasuk makan menggunakan penyepit.

Jika rumusan saya ini salah, mungkin kerana rakaman video yang saya tonton itu tidak lengkap atau memang saya yang silap faham. Apa pun, saya sudah dengar berulang kali hingga cukup jelas.

Dari perspektif lain, saya melihat analogi chopsticks dengan asimilasi kaum Cina di Malaysia oleh Dr Mahathir ini suatu manifestasi yang paradoks.

Paradoks apabila Dr Mahathir melihat orang Cina yang sudah bertahun-tahun tinggal di Malaysia, termasuk generasi yang lahir di negara ini sejak sekian lama, tetapi masih mengamalkan budaya hidup dari tanah leluhurnya (makan guna chopsticks). Ini suatu realiti yang benar.

Pada masa sama, kaum Cina yang tidak mengikut budaya tempatan ini (tak makan pakai tangan) tetapi tetap diiktiraf dan dilayan sebagaimana warga Malaysia yang lain – juga realiti yang benar.

Paradoks yang berlaku di sini adalah suatu kebenaran yang bertentangan dan sukar dimengerti dalam konteks realiti politik hari ini.

Begitu juga dengan luahan hati Dr Mahathir baru-baru ini. Bagaimana dia mengeluh (termasuk ramai yang lain) mengenai Najib Razak yang didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi bukan saja masih bebas malah masih disokong parti dan penyokong setianya.

Dr Mahathir termasuk ramai dalam kalangan kita merasa pelik dengan realiti yang sangat kontras ini. Inilah paradoks.

Justeru, apa yang dapat kita pelajari daripada analogi Dr Mahathir ini?

Mari kita lihat landskap politik hari ini. Semuanya paradoks.

Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh politik yang mewakili kerajaan kleptokrat dan pada PRU14 – ia suatu realiti yang benar.

Tetapi hari ini, Umno dan BN yang kalah itu kini kembali semula mendekati puncak kuasa sekelip mata – juga suatu realiti yang benar.

Dalam realiti ini juga, kita semua sepakat menumbangkan parti pendukung kleptokrat ini adalah keutamaan bagi kita semua, tak kiralah anda dari parti mana – juga suatu realiti yang benar.

Tetapi pada masa sama mereka yang nak menentang Umno dan BN ini masih terus bermusuh antara satu sama lain. Parti pembangkang masih tidak mampu untuk bekerjasama dan menumbangkan Umno dan BN – juga suatu realiti yang benar.

Justeru, kesialan apakah paradoks ini? – 14 Disember, 2021.

* Mahdzir Ibrahim adalah Pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen