Wajib vaksin Covid-19 untuk masuk Brazil


Brazil merekodkan lebih 616,000 kematian Covid-19 sejak permulaan pandemik, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 14 Disember, 2021.

BRAZIL mula mewajibkan menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 dalam kalangan pengembara asing tiba di negara itu, satu langkah yang pada awalnya disekat kerajaan Presiden Jair Bolsonaro.

Hakim Mahkamah Agung memutuskan pada Sabtu bukti vaksinasi wajib untuk kemasukan ke Brazil, dalam usaha mengekang penyebaran varian Omicron.

Pengawal selia kesihatan negara Anvisa berkata ia memaklumkan pos sempadan terutama di lapangan terbang mengenai pematuhan segera terhadap keputusan Mahkamah Agung Persekutuan untuk pengembara yang memasuki negara ini.

Sembilan hakim Mahkamah Tinggi yang lain mesti mengesahkan keputusan antara Rabu dan Khamis, tetapi Anvisa berkata keputusan itu sudah berkuat kuasa Isnin.

“Keputusan (mahkamah) berkuat kuasa serta-merta, oleh itu memerlukan agensi menjalankan penilaian tepat pada masanya terutama terhadap penumpang yang sudah bergerak atau dalam transit pada masa keputusan itu dikeluarkan,” kata Anvisa dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Brazil menolak keperluan sijil vaksinasi walaupun dicadangkan Anvisa dalam menghadapi kes Omicron yang direkodkan di negara itu.

Tindakan itu dibuat selepas Bolsonaro membandingkan peraturan itu umpama “tali” untuk haiwan.

Menteri Kesihatan Marcelo Queiroga dilaporkan berkata Brazil sebaliknya menetapkan kuarantin lima hari untuk pengembara yang tidak divaksinasi satu langkah yang juga disyorkan pengawal selia kesihatan.

Peraturan kuarantin akan berkuat kuasa pada 18 Disember.

Pertikaian mengenai sijil vaksinasi semakin memuncak antara kerajaan Brazil, saintis dan pihak berkuasa tempatan, kerana negara itu merekodkan sekurang-kurangnya 11 kes varian Omicron dan menjangkakan kadar kemasukan pengembara yang lebih tinggi ketika cuti musim sejuk.

Brazil merekodkan lebih 616,000 kematian Covid-19 sejak permulaan pandemik, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat. – AFP, 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen