Itali tahan bekas ketua pendakwa Albania


BEKAS ketua pendakwa Albania yang melarikan diri selepas dijatuhi hukuman penjara atas tuduhan rasuah, ditahan di Itali, kata polis di Tirana semalam.

Adriatik Llalla ditahan atas waran antarabangsa dan akan diekstradisi ke Albania, kata polis.

Llalla yang pernah menjadi individu paling berkuasa di Albania, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh tribunal tempatan pada Mei, keluar dari negara itu sebelum keputusan akhir diberikan bulan lalu.

Bukti menunjukkan beliau memberikan maklumat palsu berkenaan aset haram.

Ia termasuk sebuah pangsapuri di bandar tepi pantai Durres dan lebih dua hektar tanah, yang jumlahnya mencecah AS$1.1 juta.

Mahkamah mendapati Llalla, 52, tidak dapat memberikan penjelasan dari mana beliau mendapat wang untuk membeli hartanah dan membiayai perjalanannya ke Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

Beliau juga dilarang memegang jawatan dalam kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pada 2018, Llalla dan keluarganya dilarang masuk ke AS berikutan pembabitannya dalam rasuah, kata Jabatan Dalam Negeri pada masa itu.

Llalla adalah penjawat awam paling kanan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Khas untuk Rasuah Dan Jenayah Terancang, institusi yang ditubuhkan pada 2019 sebagai usaha Albania untuk membersihkan sistem keadilan daripada rasuah. – AFP, 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen