TIADA anggota atau pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) dikenakan tindakan tatatertib susulan serangan dron di Kabul pada Ogos lalu yang menyebabkan 10 orang awam Afghanistan maut, termasuk tujuh kanak-kanak.
Jurucakap Pentagon John Kirby berkata Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin menerima semakan peringkat tinggi mengenai serangan itu dan tidak mengesyorkan akauntabiliti.
“Austin meluluskan cadangan mereka. Setiausaha tidak meminta langkah akauntabiliti tambahan.
“Kes itu tidak cukup kukuh untuk dijadikan akauntabiliti peribadi,” katanya.
Serangan dron pada 29 Ogos berlaku pada hari-hari terakhir pemindahan keluar pakatan tentera diketuai AS dari Kabul selepas Taliban merampas kawalan negara itu.
Pegawai AS berkata mereka ada maklumat risikan serangan mungkin dilakukan terhadap operasi pemindahan di lapangan terbang Kabul dan melancarkan peluru berpandu dari dron ke sasaran kereta yang dianggap sarat dengan peluru.
Serangan itu juga terkena satu keluarga termasuk seorang lelaki Afghanistan yang bekerja dengan kumpulan bantuan AS dan tujuh anak.
Pada awal November, laporan awal dijalankan inspektor jeneral Tentera Udara AS Leftenan Jeneral Sami Said, menyebut serangan itu tragis tetapi “satu kesilapan yang jujur”.
Semakan Ketua Pusat Arahan Jeneral Kenneth McKenzie Jr dan Ketua Operasi Khas Jeneral Richard Clarke menggunakan laporan Said dan pengesyoran terperinci mengenai prosedur untuk serangan dron pada masa depan.
Bagaimanapun semakan itu tidak mengesyorkan mana-mana individu dikenakan hukuman atas kesilapan itu. – AFP, 14 Disember, 2021.
Komen