Mangsa dera doktor gimnastik AS terima pampasan AS$380 juta


Ahli gimnastik yang turut pernah memenangi pingat Olimpik, dari kiri McKayla Maroney, Jessica Howard dan Aly Raisman antara yang berani tampil mendedahkan serangan seksual dilakukan Larry Nassar. – Gambar EPA, 14 Disember, 2021.

MANGSA penderaan seksual bekas doktor pasukan gimnastik kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar akan menerima AS$380 juta (RM1.6 bilion) selepas kes itu mencapai penyelesaian dengan Gimnastik AS, Olimpik AS dan Jawatankuasa Paralimpik serta syarikat insurans mereka, kata peguam.

Penyelesaian itu, antara terbesar pernah direkodkan bagi mangsa penderaan seksual, menamatkan perjuangan undang-undang selama lima tahun akibat skandal yang menggegarkan Olimpik AS.

Nassar, 58, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018 atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap atlet ketika bertugas sebagai doktor perubatan sukan di Gimnastik Amerika Syarikat (USAG) dan Universiti Michigan State (MSU).

Ratusan wanita, termasuk pemenang pingat emas Olimpik seperti Simone Biles, Aly Raisman dan McKayla Maroney menuduh Nassar mendera mereka secara seksual sepanjang bertugas selama lebih dua dekad.

Penyelesaian itu turut membabitkan tuntutan dibuat Biles, Raisman dan Maroney, disahkan pada perbicaraan di mahkamah persekutuan di Indianapolis.

Ia bermakna kira-kira AS$880 juta (RM3.7 bilion) penyelesaian dicapai, susulan penyelesaian awal sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) daripada MSU pada 2018.

“Kami menang atas satu sebab mudah, keberanian dan ketabahan mereka yang terselamat,” kata John Manly, peguam yang mewakili lebih 180 wanita mangsa Nassar, dalam satu kenyataan.

“Wanita berani ini mengimbau semula penderaan terhadap mereka secara terbuka, dalam banyak temubual media supaya tiada seorang pun kanak-kanak akan dipaksa untuk berdepan penderaan fizikal, emosi atau seksual dalam mengejar impian mereka.” – AFP, 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen