PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berusaha mencari kaedah yang sesuai untuk membolehkan pelarian Syria pulang ke tanah air mereka, kata Utusan Khas PBB untuk Syria, Geir Pedersen pada Isnin.
“Ini adalah keutamaan PBB ketika perbincangan di Geneva, yang turut disertai Lubnan,” kata Pedersen pada pertemuannya dengan Presiden Lubnan Michel Aoun di Istana Baabda.
Pederson menghargai usaha PBB dan masyarakat antarabangsa yang membantu memberi perlindungan kepada rakyat Syria, lapor Xinhua.
Sementara itu, Aoun berkata masyarakat antarabangsa mesti bertanggungjawab memastikan kepulangan rakyat Syria ke tanah air mereka, bukannya tinggal di Lubnan dan bergantung kepada sokongan kewangan daripada organisasi antarabangsa.
Aoun berkata pelarian terpaksa melalui kehidupan yang sukar di Lubnan.
Lebih satu juta pelarian Syria berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian di Lubnan, manakala kerajaan Lubnan menganggarkan jumlah sebenar rakyat Syria di negara itu ialah 1.5 juta. – Bernama, 13 Disember, 2021.
Komen