Afghanistan lancar kempen vaksin polio


Kementerian Kesihatan Afghanistan hari ini melancarkan kempen vaksin polio dilancarkan untuk kanak-kanak berusia bawah lima tahun. – Gambar AFP, 13 Disember, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan Afghanistan hari ini melancarkan kempen vaksin polio untuk kanak-kanak berumur bawah lima tahun, lapor Xinhua.

“Kempen ini adalah yang terakhir untuk 2021 dan akan dijalankan dalam masa dua minggu. 

“Minggu ini membabitkan 21 daripada 34 wilayah Afghanistan. Ia kemudian diikuti 13 wilayah Kandahar, Helmand, Nimroz, Zabul, Uruzgan, Nangarhar, Kunar, Nuristan, Laghman, Ghazni, Paktika, Balkh, dan Ghor,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Seramai 9.9 juta kanak-kanak dijangka akan mendapat suntikan itu. Kempen itu diadakan dengan sokongan teknikal dan kewangan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Afghanistan dan Pakistan adalah dua negara di dunia yang masih melaporkan kes polio setiap tahun, menurut kenyataan itu. – Bernama, 13 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen