Tentera Israel tembak mati rakyat Palestin di Tebing Barat


Rakyat Palestin melihat Tebing Barat, yang ditawan Israel dalam Perang Enam Hari 1967, sebagai sebahagian daripada negara mereka, manakala warga Israel yang tegar, termasuk Perdana Menteri Naftali Bennett, berkata ia adalah nadi sejarah Yahudi. – Gambar AFP, 13 Disember, 2021.

SEORANG lelaki Palestin terbunuh semasa pertempuran dengan tentera Israel di utara Tebing Barat pada Isnin, kata sumber keselamatan dan perubatan.

Sumber Palestin mengenal pasti lelaki itu sebagai Jamil Al-Kayyal, 31, berkata dia mati akibat tembakan peluru di kepalanya berikutan pertempuran di kawasan Ras Al-Ain di bandar Nablus.

Menurut polis Israel, pegawai pasukan khas yang disokong oleh tentera telah menahan seorang suspek di Nablus dan merampas senjata separa automatik.

“Apabila pasukan khas menamatkan operasi mereka dan keluar dari lokasi, perusuh melemparkan bahan letupan ke arah mereka dari jarak dekat, mempertaruhkan nyawa mereka,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Pasukan bertindak balas dengan tembakan ke arah penyerang, dan mengenai salah seorang daripada mereka,” kata kenyataan itu.

Tentera Israel kerap melakukan serbuan dan penangkapan di sana mengikut keperluan keselamatan, dengan pertempuran berlaku dari semasa ke semasa.

Tidak termasuk Baitulmaqdis, kira-kira 475,000 peneroka Israel tinggal dalam komuniti berkubu di Tebing Barat, yang menempatkan lebih 2.8 juta penduduk Palestin.

Rakyat Palestin melihat Tebing Barat, yang ditawan Israel dalam Perang Enam Hari 1967, sebagai sebahagian daripada negara mereka, manakala warga Israel yang tegar, termasuk Perdana Menteri Naftali Bennett, berkata ia adalah nadi sejarah Yahudi. – AFP, 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen