Malaysia, Muhyiddin dan monopoli


ADAKAH kita masih lagi tidak serik kepada sistem monopoli di Malaysia?

Percayalah, mana-mana individu yang terpaksa melalui proses aduan telefon mengenai jalur lebar di rumah atau beratur berjam untuk pemeriksaan kenderaan tahu nilai persaingan dalam pasaran.

Semalam Muhyiddin Yassin, mantan abah dan perdana menteri Malaysia mempertahankan keputusan kerajaan untuk mewujudkan DNB (Digital Nasional Berhad) yakni sistem pelaksanaan 5G yang bersifat pukal dan berpusat, konsep sama yang turut diterapkan dalam ekonomi negara-negara maju seperti Mexico, Belarus dan Rwanda.

Saya tertarik dengan sepotong ayat dalam kenyataan itu yang mana menyebut antara faktor utama cadangan yang dikemukakan dalam laporan pelaksanaan 5G oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) gagal dilaksanakan ialah kerana ada “perbezaan kepentingan” dalam kalangan syarikat telekomunikasi. 

Bukankah “perbezaan kepentingan” inilah apa yang disebutkan sebagai persaingan dalam pasaran? Mestilah setiap syarikat ada perbezaan kepentingan kerana masing-masing dimiliki oleh orang yang berbeza, pengurusan dan organisasi yang berlainan. 

Perbezaan kepentingan syarikat-syarikat inilah yang membolehkan kita sebagai pengguna bebas dan mudah dalam memilih atau menukar perkhidmatan sekiranya mereka gagal meletakkan pelanggan sebagai kepentingan yang paling utama. 

Lagipun, apa yang dimaksudkan cadangan dalam laporan gagal dilaksanakan? Macam tak masuk akal, ini sekadar laporan peringkat jawatankuasa sahaja. 

Pusinglah macam mana sekalipun, DNB ini merupakan satu monopoli. Benar syarikat-syarikat telekomunikasi akan terus wujud,tetapi mereka semua perlu melalui infrastruktur yang sama yang dikawal oleh satu organisasi sahaja.

Kita dah melalui benda ini banyak kali, percayalah mana-mana organisasi yang tidak perlu gusar tentang persaingan atau tindak balas pasaran akan dibelenggu oleh karenah birokrasi dan lambat untuk menyesuaikan diri kepada permintaan semasa. 

Organisasi seperti DNB ini tidak perlu takut atau risau dengan apa sentimen pasaran kerana akhirnya semua syarikat telekomunikasi tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melalui mereka juga akhirnya. 

Mantan perdana menteri kita juga ada menyebut sekiranya keputusan ini diubah, ianya bakal mengugat keyakinan pelaburan luar, malah dikatakan juga pembatalan ini bakal menjejaskan puluhan ribu peluang pekerjaan dalam sektor perlaksanaan telekomunikasi 5G. 

Entahlah, kalau ikut logik mudah, bukankah lebih banyak peluang pekerjaan akan wujud sekiranya kita ada persaingan? 

Contoh mudah, mana yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan dan persaingan gaji untuk juruterbang, krew darat dan krew kabin, monopoli oleh MAS sebelum ini atau kehadiran syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Malindo?

Kalau kita risau tentang sentimen pelabur asing, bukankah dengan membuka proses lesen spektrum 5G secara terbuka yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang menawarkan kadar dan pelan terbaik bakal mewujudkan sentimen yang jauh lebih baik berbanding dengan monopoli oleh syarikat milik kerajaan? 

Lagi satu, berhentilah guna alasan nak membantu kontraktor dan usahawan Bumiputera, rakyat naik muak dengan alasan ini. Selalunya inisiatif-inisiatif seperti ini hanya membantu sebahagian kecil kontraktor dan usahawan Bumiputera yang terpilih, yang lain sekadar dapat tengok pengumuman dalam TV sajalah. 

Saya fikir cukup-cukuplah kita berbalik kepada sistem monopoli ini, nak pulak monopoli ini diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan yang terpaksa meminjam dan berhutang, dah macam 1MDB pun ada.

Benar, ada perkara yang kerajaan perlu uruskan secara berpusat, misalnya dalam menguruskan keperluan asas seperti air dan elektrik atau hasil bumi strategik seperti yang dilakukan dengan Petronas.

Tapi dalam pasaran telekomunikasi dan perkhidmatan kepada orang ramai, rasanya kita dah serik dengan model monopoli ini, pasaran dan rakyat sudah biasa dengan persaingan yang kita dapat lihat keberkesanan kuasa pasaran dalam meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. 

Kalau benarlah kerajaan mahu beri lebih tumpuan kepada infrastruktur luar bandar dan liputan meluas maka letakkanlah syarat-syarat ini ke dalam skim lelongan terbuka. Maksudnya, mana-mana syarikat yang mahu mendapatkan lesen atau spektrum 5G mesti mematuhi syarat-syarat tertentu, kalau tidak lesen mereka akan ditarik balik.

Sedikit sukar untuk kita menerima logik DNB ini apatah pula bila kerajaan sememangnya memiliki Telekom Malaysia dan Axiata, untuk apa satu lagi entiti ditubuhkan, diberikan monopoli kemudian entiti itu pula perlu berhutang.

Sepatutnya dalam banyak-banyak individu Muhyiddin merupakan orang yang patut faham kepentingan persaingan dalam pasaran, kerana bukankah kehadiran Bersatu itu sendiri berpunca daripada keperluan untuk memecahkan monopoli kuasa undi orang Melayu yang dipegang oleh Umno selama ini? – 13 Disember, 2021.   

* Zaidel Baharuddin, ketua penerangan parti Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen