G7 pada Ahad berkata masa semakin suntuk untuk Iran bersetuju dengan perjanjian mengekang cita-cita nuklearnya, selain memberi amaran kepada Rusia tentang akibat “besar” jika ia menyerang Ukraine.
Menteri-menteri luar dari negara-negara terkaya di dunia itu mengadakan mesyuarat dua hari di Liverpool, England, bertujuan untuk menunjukkan kekuatannya menentang ancaman global.
Berhubung Iran, Setiausaha Luar Britain Liz Truss berkata perbincangan semula di Vienna adalah “peluang terakhir Republik Islam itu untuk berunding dengan resolusi yang serius”.
“Masih ada masa untuk Iran datang dan bersetuju dengan perjanjian ini,” katanya pada sidang akhbar.
“Iran perlu hentikan peningkatan nuklearnya dan merebut peluang untuk memuktamadkan perjanjian, sementara masih mungkin”.
Rundingan dimulakan semula pada Khamis untuk cuba menghidupkan semula perjanjian 2015 antara Iran dan kuasa dunia, yang telah ditarik balik oleh Amerika Syarikat (AS) ketika di bawah Donald Trump pada 2018.
Iran mendakwa ia hanya mahu membangunkan keupayaan awam tetapi kuasa Barat berkata simpanan uranium diperkayanya melebihi itu, dan boleh digunakan untuk membangunkan senjata nuklear.
Presiden AS Joe Biden berkata beliau bersedia untuk kembali kepada perjanjian itu dan pegawai Iran menegaskan mereka serius untuk melakukan rundingan itu.
Namun Tehran dituduh tidak menunjukkan kemajuan untuk berunding malah dikatakan melambat-lambatkannya. – AFP, 13 Disember, 2021.
Komen