SERAMAI 18 pegawai rendah polis dan seorang pegawai awam Kontinjen Johor dibuang kerja sejak Januari hingga bulan lalu kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mendedahkan perkara itu, beliau berkata hingga kini, terdapat 11 lagi kes salah laku tatatertib membabitkan pegawai rendah polis untuk tindakan buang kerja.
“Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, kita harus berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah. Dalam menjalankan tugas, kita ditohmah, dikritik, dikecam dan diugut. Sebarang kelemahan dan kekhilafan anak-anak buah, saya akan bertanggungjawab.
“Saya boleh bertolak ansur dan mempertahankan tuan-tuan dan dan puan-puan dalam isu di atas. Tetapi dalam konteks rasuah, salah laku, bersekongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan, tiada tolak ansur dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan ibu pejabat kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Mengulas mengenai statistik indeks jenayah negeri, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga bulan lalu turun kepada 4,036 kes, berbanding 6,726 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh sama, katanya, seramai 12,828 individu ditahan atas kesalahan dadah, iaitu kedua tertinggi antara kontinjen, dengan rampasan 12.38 tan dadah bernilai RM375.93 juta.
Ayob Khan berkata, lima makmal haram dan enam stor dadah dengan nilai rampasan dan sitaan RM355.34 juta berjaya dibongkarkan, selain 20 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan skala tangkapan dan rampasan besar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan negara.
“Tindakan proaktif ini berjaya menstabilkan iklim politik dan sosial sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di Johor. Keamanan, kesejahteraan dan kehormanian masyarakat terus berada di tahap membanggakan dan memberi impak kepada proses pembangunan Johor seperti mana direncanakan,” katanya. – Bernama, 12 Disember, 2021.
Komen