UK seru Barat bersatu tentang ancaman Rusia, China


Setiausaha Luar United Kingdom Liz Truss mengajak negara Barat dan sekutu bersatu untuk menantang ancaman autoritarianisme, berganding bahu untuk tentang penceroboh yang cuba mengehadkan sempadan kebebasan dan demokrasi. – Gambar EPA, 11 Disember, 2021.

BARAT dan sekutunya perlu bersatu menentang autoritarianisme, kata Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Liz Truss pada Sabtu ketika menjadi tuan rumah G7, dengan kebimbangan terhadap ancaman Rusia dan China.

Perjumpaan dua hari menteri luar dari negara terkaya di dunia di Liverpool, barat laut England, adalah perhimpunan terakhir secara bersemuka bagi jawatan presiden G7 Britain sebelum diserahkan kepada Jerman.

Kehadiran tentera Rusia di sempadan Ukraine menjadi agenda utama, di samping perbincangan mengenai China, mengehadkan cita-cita nuklear Iran dan menangani krisis di Myanmar yang diperintah tentera.

“Kita perlu bersatu untuk tentang penceroboh yang cuba mengehadkan sempadan kebebasan dan demokrasi,” kata Truss ketika merasmikan perjumpaan, tanpa menyebut negara tertentu.

“Untuk melakukannya, kita perlu bersatu suara. Kita perlu kembangkan kedudukan ekonomi dan keselamatan kita di seluruh dunia.”

Truss mengadakan perbincangan di luar sidang kemuncak pada Jumaat dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken serta Menteri Luar Jerman yang baharu Annalena Baerbock.

Minggu depan Blinken akan ke Asia Tenggara dalam lawatan yang untuk menyerlahkan kepentingan rantau itu dalam strategi Washington menentang China yang semakin tegas di rantau tersebut.

Menteri-menteri Asean akan menyertai sidang kemuncak G7 buat kali pertama pada Ahad, dalam sesi yang diperuntukkan untuk perbincangan meluas mengenai isu termasuk vaksin Covid-19, kewangan dan kesaksamaan jantina.

Korea Selatan, Australia, Afrika Selatan dan India juga akan mengambil bahagian sebagai “tetamu” G7 pilihan Britain, dengan ramai peserta mengambil bahagian secara maya disebabkan pandemik dan kemunculan varian Omicron.

Truss berkata sebelum mesyuarat yang beliau mahukan hubungan yang lebih erat antara negara G7 dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan keselamatan “supaya kita dapat mempertahankan dan memajukan kebebasan dan demokrasi di seluruh dunia”.

“Saya akan naikkan perkara ini dalam beberapa hari akan datang,” tambahnya. – AFP, 11 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen