RIBUAN petani India mengemas barang-barang mereka dan menutup khemah pada Sabtu untuk pulang dari pinggir Delhi berikutan bantahan selama setahun terhadap dasar pertanian kerajaan.
Bulan lepas, Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan dan mendesak Parlimen untuk memansuhkan tiga undang-undang yang menjadi perbalahan yang didakwa petani akan membenarkan syarikat swasta mengawal sektor pertanian negara.
Beratus-ratus petani menari dan meraikan kemenangan awal mereka pada Sabtu ketika mereka mula mengalihkan sekatan jalan raya dan merobohkan beribu-ribu khemah sementara di sepanjang lebuh raya utama.
Petani di India mempunyai kekuatan politik kerana bilangan mereka yang ramai—puluhan ribu telah berkhemah untuk membantah undang-undang yang menjadi cabaran terbesar kepada kerajaan Modi sejak ia berkuasa pada 2014.
Penunjuk perasaan pada mulanya enggan meninggalkan kawasan berkenaan walaupun undang-undang itu dimansuhkan, mendesak tuntutan lain termasuk jaminan undang-undang untuk kadar penanda aras minimum untuk hasil mereka.
Kerajaan berkata ia akan menubuhkan satu suruhanjaya bagi menetapkan harga minimum untuk tanaman dan berjanji untuk berhenti mendakwa petani kerana membakar tunggul tanaman yang dikatakan menjadi punca pencemaran udara di Delhi setiap musim sejuk.
Ia juga bersetuju untuk membayar pampasan kepada keluarga lebih 700 petani yang terkorban semasa demonstrasi dan menarik balik kes jenayah yang dikenakan terhadap penunjuk perasaan semasa kempen sepanjang tahun yang menentang undang-undang ladang itu.
Tiga undang-undang pertanian yang diluluskan pada September 2020 bertujuan untuk menghentikan kawal selia pasaran hasil ladang daripada kawalan negeri dan membenarkan syarikat swasta memasuki sektor itu—yang menjadi punca pendapatan kepada dua pertiga daripada lebih 1.3 bilion penduduk India.
Kerajaan berkata undang-undang itu adalah pembaharuan yang perlu tetapi petani menentang langkah itu, dengan mengatakan ia akan menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada belas ihsan syarikat besar.
Petani memulakan protes tempatan di utara Punjab dan Haryana sebelum puluhan ribu menuju ke New Delhi untuk mendesak tuntutan mereka.
Namun mereka dihalang secara ganas oleh polis di sempadan New Delhi, mencetuskan kebuntuan selama setahun yang menyaksikan pihak berkuasa membina penghadang konkrit dan keluli serta pancang besi untuk menghentikan kemaraan mereka. – AFP, 11 Disember, 2021.
Komen