Demokrasi AS umpama senjata pemusnah massa, kata China


Kenyataan China itu dikeluarkan selepas republik komunis tersebut diketepikan daripada Sidang Kemuncak Demokrasi anjuran Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 11 Disember, 2021.

REPUBLIK komunis China menyifatkan demokrasi Amerika Syarikat (AS) sebagai “senjata pemusnah besar-besaran” pada Sabtu, berikutan Sidang Kemuncak Demokrasi anjuran AS yang bertujuan mendapatkan sokongan sekutu bagi berhadapan rejim autokratik.

China diketepikan daripada sidang kemuncak itu - bersama Rusia dan Hungary, dan bertindak balas dengan menuduh Presiden AS Joe Biden mencetuskan perpecahan ideologi era Perang Dingin.

“‘Demokrasi’ telah lama menjadi ‘senjata pemusnah besar-besaran’ yang digunakan AS untuk campur tangan dalam urusan negara lain,” kata jurucakap kementerian luar dalam satu kenyataan, yang turut menuduh AS telah “menghasut ‘revolusi warna’” di luar negara.

Kementerian itu juga mendakwa sidang kemuncak tersebut dianjurkan AS untuk “menggambarkan garis prejudis ideologi dan memperalatkan demokrasi… serta menghasut perpecahan dan konfrontasi.”

Sebaliknya, Beijing berikrar untuk “menentang semua jenis demokrasi separuh masak”.

Menjelang sidang kemuncak itu, China melancarkan propaganda mengkritik demokrasi AS sebagai rasuah dan gagal.

Sebaliknya, ia menggembar-gemburkan tentang tentang “demokrasi rakyat yang penuh proses” dalam kertas putih yang dikeluarkan minggu lalu yang bertujuan untuk menyokong kesahihan Parti Komunis yang memerintah, yang telah menjadi semakin autoritarian di bawah Presiden Xi Jinping.

Walaupun AS berulang kali menafikan akan berlaku satu lagi Perang Dingin dengan China, ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung isu termasuk perdagangan dan persaingan teknologi, hak asasi manusia, Xinjiang dan Taiwan. – AFP, 11 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen