Tragedi kematian Vasanthapiriya boleh dielak jika SOP dipatuhi, kata Subramaniam


Looi Sue-Chern

Ahli keluarga meratapi kematian M. Vasanthapiriya di rumah mereka di Nibong Tebal. Pelajar itu meninggal dunia pagi tadi selepas seminggu berada dalam keadaan koma. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Februari, 2018.

SEKOLAH mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang boleh mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya ia dipatuhi, kata Menteri Kesihatan S. Subramaniam.

Subramaniam mengulas mengenai kes pelajar Tingkatan Dua SMK Methodist Nibong Tebal, M. Vasanthapiriya, 13, yang cuba membunuh diri Rabu lalu selepas dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 gurunya. Vasanthapiriya meninggal dunia pagi tadi selepas seminggu berada dalam keadaan koma.

“Saya fikir kerajaan berpandangan bahawa perkara seperti ini tidak boleh berlaku dalam sistem sistem sekolah.

“Ia berbalik kepada sistem sekolah dan prosedur dalam menangani situasi melibatkan pelajar.

“Sekolah mempunyai SOP untuk diikuti, dan kejadian seperti ini boleh dielakkan jika prosedur itu dipatuhi,” kata Subramaniam ketika melawat keluarga Vasanthapiriya di Kampung Tonghai di Nibong Tebal hari ini.

Jelas beliau, guru perlu menangani masalah disiplin dengan cara yang betul.

“Guru tidak boleh menjadi seperti polis atau penyiasat. Jika ia melampaui batas, kita akan berdepan situasi seperti ini.”

Subramaniam juga berkata sekolah perlu mempunyai guru kaunseling dan mengingatkan guru supaya sentiasa berjaga-jaga apabila berurusan dengan pelajar.

“Pada umur sebegini, pelajar menghadapi tekanan yang tinggi. Masing-masing bertindak balas terhadap sesuatu situasi dengan cara yang berbeza.

“Pelajar yang lebih lembut boleh mempunyai respon yang berbeza. Kalau kita tidak sedar atau beri perhatian, kita akna hadapi situasi seperti ini,” katanya.

Subramaniam berharap tragedi ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Hari ini kita kehilangan seorang pelajar berusia 13 tahun atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Perkara seperti ini tidak patut berlaku,” katanya. – 1 Februari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen