SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg menolak gesaan Russia supaya Barat menarik balik pelawaannya terhadap Ukraine untuk menyertai perikatan itu.
“Hubungan NATO dengan Ukraine akan diputuskan 30 sekutu NATO dan Ukraine, tiada orang lain,” kata Stoltenberg pada sidang akhbar bersama dengan Canselor Jerman Olaf Scholz.
“Kami tidak boleh terima Russia cuba mewujudkan semula sistem di mana kuasa besar seperti Russia ada pengaruh, di mana mereka boleh mengawal atau memutuskan perkara yang boleh dilakukan ahli lain.”
Sebelum ini, Kementerian Luar Russia berkata NATO harus membatalkan secara rasmi deklarasi 2008 yang membuka pintu kepada Georgia dan Ukraine, dua bekas republik Soviet.
“Demi kepentingan asas keselamatan Eropah, perlu untuk menolak secara rasmi keputusan sidang kemuncak NATO Bucharest 2008 ‘Ukraine dan Georgia akan menjadi anggota NATO’,” katanya.
Tentera Russia kini menduduki dua wilayah pemisah Georgia, dan Moscow menguasai wilayah Crimea Ukraine, dan didakwa menyokong pemberontak pemisah di Donbas yang berjiran.
Sejak beberapa minggu lalu, Russia memindahkan kira-kira 100,000 tentera ke sempadan Ukraine, mencetuskan amaran di Washington dan di ibu pejabat NATO di Brussels.
Minggu ini, Presiden Russia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengadakan perbincangan selama dua jam, dengan ketua Kremlin menuntut jaminan Barat Ukraine tidak akan menjadi landasan pelancaran NATO.
Sekutu Barat bimbang mengenai pembentukan Russia, tetapi mengisytiharkan semula sokongan untuk kedaulatan Ukraine dan memberi amaran kepada Russia mengenai akibat “strategik dan ekonomi” yang mendalam jika ia menyerang.
Stoltenberg berkata walaupun pemimpin Barat terbuka kepada perbincangan, mereka tidak akan berkompromi dengan hak setiap negara di Eropah untuk menentukan jalan sendiri. – AFP, 11 Disember, 2021.
Komen