SATU letupan di depoh simpanan menggegarkan kem pelarian Palestin di selatan Lubnan semalam, menyebabkan beberapa tercedera, kata sumber.
Letupan itu berlaku berhampiran masjid di kem Burj al-Shemali di luar Tyre, kata sumber tentera Lubnan, tetapi tiada maklumat tepat dapat diberikan.
Sumber berkata letupan berlaku di stor peluru yang disimpan militant Hamas di mana makanan dan barang lain turut disimpan di situ.
Tetapi pihak berkuasa Palestin menafikan ada senjata atau peluru di dalam stor itu, berkata botol oksigen yang meletup.
Penghuni kem itu berkata anggota bomba masih cuba memadamkan kebakaran.
Tinjauan mendapati beberapa ambulans memasuki kem itu sementera tentera Lubnan berkawal di sekitar kawasan itu.
Lubnan menerima puluhan ribu pelarian Palestin, dengan kebanyakannya tinggal di 12 kem di seluruh negara itu. Dijangkakan hampir setengah juta pelarian Palestin berada di Lubnan. – AFP, 11 Disember, 2021.
Komen