2 maut, 4 cedera dalam serangan bom di Kabul


Pekerja pihak berkuasa tempatan membersihkan lokasi kejadian letupan bom di Dasht-e-Barchi di ibu negara Afghanistan. – Gambar EPA, 11 Disember, 2021.

DUA dilaporkan maut sementara empat yang lain cedera dalam insiden letupan bom berasingan di Kabul semalam, kata kerajaan Taliban, ketika kumpulan pelampau IS mengaku bertanggungjawab.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban Sayed Khosti berkata dua orang awam maut dan tiga lagi cedera apabila bom meletup di sebuah bas mini di daerah Dasht-e-Barchi di ibu negara Afghanistan.

Katanya, seorang wanita cedera dalam serangan berasingan di kawasan sama, di mana letupan kedua juga berpunca daripada bom.

Sebahagian besar Dasht-e-Barchi didiami masyarakat Hazara, kebanyakannya syiah, yang menjadi sasaran keganasan IS-Khorasan (IS-K) sejak beberapa tahun lalu.

IS-K semalam mengaku bertanggungjawab ke atas tiga letupan yang menyasarkan bas membawa penumpang syiah.

Pengeboman itu memusnahkan bas dan membunuh serta mencederakan puluhan penumpang, menurut mesej kumpulan itu yang diterjemahkan Kumpulan Perisikan SITE, sebuah platform memantau aktiviti jihad.

Kaca pecah dan struktur rosak dilihat berhampiran jalan di mana salah satu letupan berlaku.

Serangan bom serupa terhadap bas mini di Dasht-e-Barchi membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain, dalam serangan di mana IS-K turut mengaku bertanggungjawab melakukannya, November lalu. – AFP, 11 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen