MENTERI kanan United Kingdom (UK) semalam berkata negara itu menyaksikan angka jangkitan Covid-19 tertinggi sejak Januari lalu, di tengah-tengah kerajaan berusaha keras membendung penularan varian baharu.
Setiausaha Komuniti Michael Gove berkata negara itu menghadapi situasi amat membimbangkan apabila varian Omicron merebak cepat, dengan bilangan kes meningkat dua kali ganda setiap dua hingga tiga hari di England.
UK melaporkan 58,194 kes semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas bertemu pemimpin wilayah UK, Gove berkata pihaknya sedar jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi dicatatkan di seluruh UK sekarang sejak 9 Januari lalu, dengan 59,937 kes direkodkan.
Katanya, 30% daripada kes dilaporkan di London kini adalah varian Omicron, selain varian itu hanya dikenal pasti di UK, dua minggu lalu.
Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon berkata: “Kita mungkin menghadapi… mungkin mula mengalami… potensi tsunami jangkitan.”
Sementara itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menjangkakan Omicron menjadi varian dominan di UK menjelang pertengahan Disember, jika trend itu berterusan dengan lebih sejuta jangkitan menjelang akhir bulan ini.
Setakat ini 1,265 kes Omicron disahkan.
UKHSA berkata analisis awal ke atas kira-kira 500 kes Omicron menunjukkan vaksin AstraZeneca dan Pfizer menyediakan tahap perlindungan jauh lebih rendah bagi jangkitan bergejala, berbanding Delta.
Katanya, dos penggalak meningkatkan perlindungan kepada 70%-75%, selain memberi amaran saiz sampel kecil perlu dirawat dengan berhati-hati.
UK melaporkan antara angka kematian tertinggi di Eropah akibat virus itu, iaitu 146,255 dengan kadar itu tidak meningkat pada minggu lalu.
Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan pelbagai sekatan lebih ketat dikenali “Pelan B”, termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di muzium, teater dan pawagam mulai semalam serta panduan bekerja dari rumah sejak Isnin lalu. – AFP, 11 Disember, 2021.
Komen