Kenapa anak bini Taib Mahmud cepat sangat dapat status Bumiputera?


Desmond Davidson

POLITIKUS Sarawak mempersoalkan kenapa begitu cepat sekali status Bumiputera diberikan kepada isteri bekas Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud iaitu Ragad Kurdi Taib dan dua anaknya sedangkan ramai lagi rakyat Sarawak yang belum ada kad pengenalan mahupun sijil kelahiran.

Ragad, 37, kelahiran Syria dilaporkan berkahwin dengan Gabernor Sarawak Taib Mahmud, 82, yang berketurunan Melanau pada 2010.

Ragad dan dua anak lelakinya, Nizar Mahmoud Madi dan Sam Mahmoud Madi dimasukkan sebagai etnik Melanau di bawah seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992 dan peraturan 17F Mahkamah Anak Negeri, 1993.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi Pakatan Harapan Chong Chieng Jen mempersoalkan kecekapan kerajaan negeri yang pantas meluluskan permohonan tiga beranak itu untuk mendapat status Bumiputera.

Bagaimanapun, Chong enggan untuk mengulas mengenai status Ragad dan dua anaknya sebagai Melanau.

“Ada beratus ribu rakyat Sarawak yang belum ada kad pengenalan dan sijil kelahiran,” kata Chong.

Ujarnya, pagi tadi beliau ke perpustakaan mahkamah di Kuching untuk mencari Warta Kerajaan bagi mengesahkan salinan warta itu yang telah pun tular di media sosial.

Chong mendakwa masih banyak lagi permohonan “rakyat Sarawak sebenar” di meja Setiausaha Kerajaan Negeri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menunggu untuk disahkan status mereka.

“Kenapa dia tak boleh luluskan?” soalnya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, Morshidi dan kerajaan negeri “patut cekap dan pantas” memproses permohonan “rakyat kelahiran Sarawak” yang tidak ada kad pengenalan, berbanding mementingkan Ragad.

Tambah Chong lagi, pasangan rakyat Sarawak yang telah menetap di negeri itu selama “20 ke 30 tahun pun belum dalam status penduduk tetap.”

Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Anak Negeri di Kuching menerbitkan status mereka sebagai “peribumi Sarawak” sebelum digazetkan pada 9 November lalu.

Melanau merupakan etnik kelima terbesar di Sarawak yang menetap terutamanya di pantai sekitar Mukah.

Chong berkata, beliau tidak tahu menahu sama ada Ragad dan anaknya boleh bertutur bahasa Melanau atau faham dengan adat istiadat Melanau.

Bagaimanapun, beliau menekankan, sebagai penduduk peribumi, “statusnya (Ragad) lebih tinggi dari saya.”

“Dia ada lebih hak berbanding rata-rata rakyat Sarawak.”

Dalam pada itu, Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata yang beliau tidak akan membantah pemberian status kerakyatan Malaysia kepada Ragad dan anaknya itu.

Tetapi, beliau tidak bersetuju dengan pemberian status penduduk peribumi terhadap tiga beranak itu.

“Sebagai rakyat, mereka boleh beri banyak sumbangan kepada masyarakat.

“Tetapi, sebagai peribumi, tidak sama sekali.”

Dr Ting yang mengalami nasib sukar untuk mendapatkan status penduduk tetap buat isteri Taiwan beliau turut mempersoalkan kerajaan yang mempercepatkan permohonan isteri dan anak Taib Mahmud itu.

“Macam mana pula dengan beribu-ribu anak-anak yang tak ada negeri yang lahir di sini (Sarawak), membesar di sini dan masih tidak ada identiti (kad pengenalan, sijil kelahiran)?

“Lawak jenis apa ni?”

Dalam pencariannya pagi tadi, Chong turut mendapati yang Ragad telah mendaftar sebagai pengundi di DUN Pantai Damai dan Parlimen Santubong. – 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • rasanya benda ini tidak perlu dijadikan isu utk menghentam kerajaan negeri..apa yg penting sekarang beliau memohon mengikut segala proses yg telah ditetapkan oleh kerajaan negeri & bukannya ikut jln belakang..setelah penilaian dibuat & dirasakan beliau layak itk menerimanya barulah kerajaan negeri mengiktirafnya..bkn main bg je..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • rasanya benda ini tidak perlu dijadikan isu utk menghentam kerajaan negeri..apa yg penting sekarang beliau memohon mengikut segala proses yg telah ditetapkan oleh kerajaan negeri & bukannya ikut jln belakang..setelah penilaian dibuat & dirasakan beliau layak itk menerimanya barulah kerajaan negeri mengiktirafnya..bkn main bg je..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • anak bini taib mahmud begitu mudah mendapat status bumiputera tidak menghairankan. boss semuanya itu adalah taib mahmud. semua orang takut kepada taib mahmud.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Patrick wee sim · Ulasan

  • Kritikan oleh politikus mengenai isteri dan anak-anak TYT jadi Melanau adalah serupa orang yang kurang bijak menganggapkan TYT sama pangkat dengan seorang warga biasa saperti penjual roti canai atau drebar teksi. Tolong ingat lah TYT adalah Head of State atau Gabenor atau Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. TYT juga adalah AHLI Majlis RAJA-RAJA. Di UK Prince Philip (bapa Prince Charles) adalah Queen's Consort Ragad dan anak-anak adalah berbangsa Arab beragama Islam. Memang tidak masuk akal ada orang politikus

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Voon fah · Ulasan