Kes denggi menurun sejak 2019, kata KP kesihatan 


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kemasukan pesakit kes denggi ke hospital juga menyaksikan pengurangan ketara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2021.

MALAYSIA menyaksikan penurunan yang stabil dalam kes denggi sejak 2019, dengan 24,049 kes dilaporkan pada 4 Disember, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada The Malaysian Insight.

Jumlah kes mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 2019 apabila 130,101 kes dilaporkan.

“Jumlah kes denggi dilaporkan pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 72.2% (62,357 kes) berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, semua negeri di Malaysia melaporkan pengurangan kes denggi sebanyak 33% hingga 95%,” kata Dr Noor Hisham.

“Dari Januari hingga 4 Disember 2021, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan ialah 24,049 berbanding 86,406 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.”

Dr Noor Hisham berkata jumlah kematian akibat penyakit bawaan nyamuk itu juga menurun sebanyak 86.4% di mana 19 kematian dilaporkan setakat 4 Disember berbanding 140 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau menambah bahawa hospital juga menyaksikan kurang kemasukan kes denggi.

“Dari segi kemasukan denggi tahun ini, hospital semakin kurang kemasukan berbanding tahun sebelumnya. Dari Januari hingga 4 Disember, 25% (6,085 kes) pesakit denggi dimasukkan ke hospital berbanding 51% (46,105 kes) pada tahun sebelumnya,” katanya.

Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 14,336 kes. Bagaimanapun, ini lebih rendah daripada kiraan tahun lepas iaitu 42,795.

Labuan kekal sebagai negeri yang merekodkan kes paling sedikit. Ia melaporkan enam kes tahun lepas dan lima tahun ini.

Kemuncak penularan biasanya berlaku pada akhir musim tengkujuh, iaitu Oktober hingga Februari di pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak dan Julai hingga Ogos di pantai barat Semenanjung.

Setakat ini tiada vaksin untuk mencegah penyakit itu yang kini menjadi endemik di lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Langkah pencegahan seperti menggunakan ubat nyamuk pada kulit dan pakaian, mengelakkan kawasan kediaman yang padat penduduk, tinggal di kawasan berhawa dingin atau bersaringan, menggunakan kelambu jika kawasan tidur tidak disaring atau berhawa dingin, dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan. – 11 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen