PENSYARAH Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff menggesa lebih ramai ahli akademi menyertai desakannya untuk meminta Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran DAP.
Dalam posting di Facebook pagi ini, Kamarul berkata kira-kira 100 orang sudah bersetuju menandatangani memorandum kepada RoS untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada DAP berhubung kenapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
“Alasan utama memorandum ini ialah untuk bertanya kenapa ramai aktivis DAP menentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan kedudukan Melayu dan Bumiputera,” tulis Kamarul.
Memorandum itu berasaskan kepada Seksyen 2A(1) Akta Pertubuhan yang menyatakan setiap pertubuhan berdaftar perlu memastikan aktiviti mereka tidak mencabar Islam sebagai agama Malaysia, atau kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini, kata Kamarul.
“Satu lagi undang-undang yang digunakan ialah Seksyen 13(1)(c) Akta Pertubuhan iaitu pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika ia melanggar peraturan, atau menentang keamanan dan harmoni dalam Persekutuan,” katanya.
Kamarul berkata terdapat lebih 100 ahli akademik tempatan termasuk 18 profesor dan 24 profesor madya yang bersetuju untuk menandatangani memorandum itu atas kapasiti peribadi.
Katanya, ahli akademik itu dari 21 universiti tempatan termasuk Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
“Mana-mana ahli akademik yang turut berminat menjadi penandatangan kepada memorandum ini boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya, dengan syarat anda mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.
Pensyarah sains politik UUM itu menjadi tumpuan sejak minggu lalu selepas beliau membuat laporan polis terhadap Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkaitan buku autobiografinya bertajuk Becoming Hannah”.
Menerusi Facebook, beliau berkata buku Yeoh mengandungi rujukan kepada Kristian dan mendakwa Yeoh melakukan cubaan memurtadkan Melayu Islam dengan bukunya itu. – 22 Mei, 2017.
Komen