2 ditahan bawa kambing, biri-biri seludup 


DUA lelaki yang membawa 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing bernilai RM63,100 yang disyaki diseludup dari negara jiran, ditahan polis berdekatan Jalan Repek-Lubok Jong di Pasir Mas, pukul 12.55 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kegiatan kedua-dua lelaki tempatan berusia 20 dan 24 tahun itu dikesan selepas mereka ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah kerana membawa lori dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut dipenuhi dengan muatan puluhan ekor biri-biri dan kambing.

“Selepas soal siasat ringkas, kedua-dua lelaki terbabit mengaku mendapatkan kesemua haiwan ternakan itu di satu kawasan pangkalan haram dekat Kubang Pak Itam, Meranti di Pasir Mas,” katanya.

Jelasnya, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan haiwan ternakan dan semua rampasan, termasuk sebuah lori yang bernilai RM40,000, diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan selanjutnya. – Bernama, 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen