EU akan terima 40,000 rakyat Afghanistan


Dianggarkan kira-kira 85,000 rakyat Afghanistan memasuki negara berhampiran EU hingga kini, namun bilangan mereka meninggalkan tanah air itu dijangka bertambah. – Gambar fail EPA, 10 Disember, 2021.

SEBANYAK 15 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menerima 40,000 rakyat Afghanistan untuk diberi penempatan semula.

Pesuruhjaya EU Ylva Johansson mengumumkan perkara itu selepas perjumpaan dengan menteri dalam begeri blok itu, semalam.

Berdasarkan dokumen yang dilihat, Jerman akan menerima sebahagian besar daripada ketibaan baharu itu nanti membabitkan seramai 25,000 rakyat Afghanistan, manakala Belanda 3,159 dan Sepanyol serta Perancis masing-masing 2,500.

“Saya berpendapat ini tindakan solidariti yang mengagumkan,” kata Johansson.

Beliau berkata pemberian kebenaran untuk lebih ramai rakyat Afghanistan berhijrah secara terkawal itu akan membantu mencegah ketibaan tidak teratur.

Sebelum ini, pesuruhjaya tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian (UNHCR) dilaporkan menggesa blok itu untuk menerima kemasukan 42,500 rakyat Afghanistan dalam tempoh lima tahun, namun sebilangan daripada 27 negara anggota menolaknya.

Dianggarkan kira-kira 85,000 rakyat Afghanistan memasuki negara berhampiran EU hingga kini, namun bilangan mereka yang meninggalkan tanah air itu dijangka bertambah.

Sebelum ini, 24 negara anggota EU menerima kira-kira 28,000 rakyat Afghanistan susulan pengunduran tentera asing dan penguasaan semula oleh kumpulan Taliban di Afghanistan. – AFP, 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen