PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyatakan sokongan kuat kepada Ukraine dan berjanji akan membantu jika Russia menyerang negara bekas Soviet itu.
Pada masa sama, beliau menggesa penyelesaian dicapai secara diplomatik dalam menangani konflik di Eropah Timur itu.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam satu kenyataan berkata berterima kasih atas sokongan kuat Biden melalui perbualan telefon selama kira-kira satu jam setengah.
White House berkata Biden sekali lagi menegaskan komitmen AS yang tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.
Selain itu, Biden membuat panggilan berasingan kepada pemimpin negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membabitkan Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Hungary, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Slovakia di Eropah Timur.
“Mereka berbincang mengenai isu penempatan semakin ramai tentera Russia di sepanjang sempadan Ukraine, dan keperluan untuk NATO mencapai pendirian yang bersatu, siap siaga serta tegas bagi pertahanan sekutu secara kolektif,” kata White House. – AFP, 10 Disember, 2021.
Komen