AS siap sedia jika rundingan nuklear Iran gagal


Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata Presiden AS Joe Biden mengarahkan pentadbirannya bersiap sedia merangka 'langkah tambahan' sekiranya rundingan mengenai perjanjian nuklear Iran masih menemui jalan buntu. – Gambar EPA, 10 Disember, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengarahkan pentadbirannya bersiap sedia merangka ‘langkah tambahan’ sekiranya rundingan mengenai perjanjian nuklear Iran masih menemui jalan buntu, kata Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki.

Perbincangan dengan Iran bersambung semula di Vienna semalam.

“Presiden sudah mengarahkan pasukannya untuk bersiap sedia dan jika rundingan gagal, kami mesti beralih kepada cara lain.

“Kita akan tiada pilihan selain mengambil langkah tambahan,” kata Psaki pada sidang media.

Rundingan nuklear antara kuasa-kuasa dunia dengan Iran yang bermula pada 29 November menemui jalan buntu 3 Disember lalu. AS menyalah Iran, mendakwa Tehran  ‘tidak serius’ untuk kembali ke meja rundingan.

Para diplomat antarabangsa memulakan kembali rundingan semalam. 

Pengerusi rundingan itu bagaimanapun melihat sukar untuk menghidupkan semula perjanjian antara Iran dengan kuasa dunia yang dimeterai pada 2015.

Wakil dari Britain, China, Perancis, Jerman, Russia dan Iran hadir pada rundingan di Vienna itu. Manakala delegasi AS akan menyusul beberapa hari lagi. – AFP, 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen