Harga barang naik, kedai pajak gadai jadi tumpuan


Angie Tan

Meskipun aktiviti ekonomi sudah dibuka semula, ramai yang masih terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 ditambah pula dengan harga barangan yang naik mendadak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2021.

PERNIAGAAN pajak gadai meningkat 30% dalam tempoh tiga bulan lalu susulan ramai yang terdesak menggadaikan barang berharga seperti emas untuk mendapatkan wang segera, kata pengusaha.

Meskipun aktiviti ekonomi sudah dibuka semula, kebanyakan rakyat masih terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 ditambah pula dengan harga barangan yang naik mendadak, tambah mereka.

Segelintir pengusaha pula berkata bantuan-bantuan yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan masalah kewangan rakyat bagaimanapun menyebabkan jumlah pelanggan merosot.

Tan Wang Chang, yang memiliki dua buah kedai pajak gadai di Johor Bahru, berkata peniagaannya merudum sehingga 30% sejak tiga bulan lalu.

“Perniagaan bagus hanya apabila ramai orang mengalami masalah kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Salah sebuah premis Tan yang terletak di Taman Daya merupakan kedai pajak gadai pandu lalu yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menurut Tan, emas adalah barangan yang paling banyak digadai di kedainya, diikuti jam dan beg tangan berjenama. Ramai pelanggannya pula terdiri daripada golongan muda seawal usia 25 tahun.

Beliau juga berkata pelanggan biasanya akan datang semula untuk menebus balik barang gadaian.

“Misalnya, sejak sekolah buka semula, pelanggan mungkin gadai barang sebab gaji lewat. Tetapi selepas dapat gaji, mereka datang semula untuk tebus.”

Susulan harga barang keperluan seperti sayur naik mendadak sehingga 200%, ini sekaligus bermakna rakyat kini terpaksa berbelanja lebih daripada biasa.

Dalam tempoh beberapa minggu akan datang harga beberapa barang keperluan asas termasuk minyak masak dan beras dijangka naik. Malah harga minuman di kedai kopi turut dijangka lebih mahal berbanding harga biasa pada Januari depan.

Seorang kerani di sebuah kedai pajak gadai di Chow Kit, Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, berkata orang ramai yang kesempitan wang kini tidak lagi hanya menggadaikan barang berharga untuk mendapatkan wang segera.

“Dulu orang pergi ke pajak gadai untuk dapatkan duit  segera, tetapi sekarang sudah ada peminjam wang.

“Prosesnya juga lebih mudah dan syarat-syaratnya juga menarik perhatian peminjam terutamanya orang muda,” katanya.

Bantuan kerajaan

Presiden Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia Tan Ho Keng pula berkata, walaupun belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19, orang ramai masih mempunyai wang tunai melalui bantuan dan insentif kerajaan.

“Kedai pajak gadai jadi penanda aras kedudukan kewangan seseorang. Selepas sektor ekonomi dibuka semula, orang ramai pun kembali bekerja, manakala ada yang menerima bantuan kerajaan atau mengeluarkan simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) mereka.

“Ini secara tidak langsung bermakna perniagaan kami kekal pada tahap biasa, tiada peningkatan,” kata Tan.

Tambahnya, sejak Mac hingga Oktober, pengusaha pajak gadai melaporkan pendapatan mereka susut 40% ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan.

“Jumlah pelanggan naik semula dalma tempoh dua bulan lalu. Ini mungkin disebabkan kos sara hdup yang semakin tinggi.” – 10 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen