THAILAND menyasarkan untuk menganjurkan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) secara fizikal pada tahun depan di pelbagai lokasi bagi memupuk persefahaman bersama dan membuahkan hasil yang ketara.
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Apec 2022 Thani Thongphakdi dalam satu kenyataan berkata selaku pengerusi, Thailand berhasrat menganjurkan semua mesyuarat Apec secara fizikal bermula dengan SOM Tidak Rasmi di Phuket awal bulan ini.
“Selepas hampir 22 bulan Apec berinteraksi secara maya adalah menjadi matlamat kami untuk mengadakan semula Apec secara fizikal…kami percaya bahawa interaksi secara bersemuka kekal sebagai cara terbaik bagi memupuk persefahaman dan bekerja bersama-sama ke arah pencapaian lebih berkesan.
“Namun sudah tentu pertimbangan teliti terhadap langkah kesihatan awam akan menjadi keutamaan bagi memastikan keselamatan semua peserta mesyuarat serta petugas dan komuniti,” katanya dalam taklimat selepas Minggu Pemimpin Apec 2021: “Responding to the Crisis and Returning the Apec Region to Growth” hari ini.
Thani berkata Thailand akan meneruskan usaha Apec 2021 untuk menuju ke arah masa depan lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan pasca Covid-19.
Selain itu katanya sebagai tuan rumah Apec 2022 yang bertemakan “Open. Connect. Balance.”, Thailand juga akan menumpukan kepada usaha melakar masa depan pasca Covid-19 di rantau Asia-Pasifik. – Bernama, 9 Disember, 2021.
Komen