DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan undang-undang menyekat import dari wilayah Xinjiang China atas layanannya terhadap minoriti Muslim Uyghur, ketika ketegangan terus meningkat antara Washington dan Beijing.
Ahli Dewan mengundi 428-1 bagi meluluskan “Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur” yang memerlukan syarikat membuktikan “dengan jelas dan meyakinkan” mana-mana barangan yang diimport dari wilayah itu tidak dibuat menggunakan buruh paksa.
“Ketika ini, Beijing sedang mendalangi kempen penindasan yang kejam terhadap rakyat Uyghur dan minoriti Islam lain,” kata Speaker Nancy Pelosi kepada ahli Parlimen sebelum pengundian.
“Di Xinjiang, di seluruh China, berjuta-juta orang mengalami pencabulan hak asasi manusia yang keterlaluan: daripada pengawasan besar-besaran dan kepolisan disiplin; kepada penyeksaan besar-besaran termasuk kurungan bersendirian dan pensterilan paksa; ugutan terhadap wartawan dan aktivis yang berani mendedahkan kebenaran.”
Tambahnya, “eksploitasi kerja paksa oleh kerajaan China menjangkau seluruh lautan hingga ke pantai kita dan ke seluruh dunia.”
Senat AS sebelum ini telah meluluskan langkah yang sama dan kedua-duanya kini perlu berunding.
Rang itu perlu ditandatangani untuk jadi undang-undang oleh Presiden Joe Biden dan tidak jelas sama ada ia mendapat sokongan Rumah Putih.
Undian itu dibuat sejurus selepas Rumah Putih mengumumkan untuk boikot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berhubung apa yang disifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai” China terhadap minoriti Uyghur dan pencabulan hak asasi manusia yang lain, satu tindakan yang mendapat teguran keras daripada Beijing.
Kerajaan AS turut mengenakan sekatan yang sama ke atas beberapa import China, termasuk bahan panel solar, berhubung layanan Beijing terhadap Uyghur.
China menggelar sekatan itu “seperti penyamun.”
Dalam undian berasingan 428-0, Dewan juga meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa “gagal mematuhi komitmen hak asasi manusianya sendiri” di tengah-tengah keraguan tentang keselamatan bintang tenis China Peng Shuai, yang telah menuduh pemimpin terkemuka Parti Komunis membuat serangan seksual. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen