New Zealand lancar rancangan bebas-asap rokok cegah tabiat merokok


New Zealand lancar pelan tindakan bebas asap rokok bagi mengurangkan tabiat merokok harian kepada kurang 5% bagi semua kumpulan penduduk menjelang 2025. – Gambar fail AFP, 9 Disember, 2021.

NEW Zealand melancarkan pelan tindakan bebas asap rokok yang bertujuan mengurangkan tabiat merokok harian kepada kurang daripada 5% bagi semua kumpulan penduduk menjelang 2025, lapor Xinhua.

Rancangan yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Bebas Asap Rokok Aotearoa 2025 itu menumpukan kepada enam bidang utama termasuk dasar-dasar untuk mengurangkan “ketersediaan, ketagihan dan daya tarikan” produk tembakau secara radikal, kata Menteri Bersekutu Kesihatan Ayesha Verrall di Parlimen.

Dasar baharu itu termasuk menjadikan produk tembakau lebih sukar diperoleh dengan mengurangkan bilangan kedai yang menjualnya dan mengurangkan paras nikotin dalam produk tembakau yang dihisap.

Ia bertujuan membantu individu berhenti merokok dan membantu orang ramai, terutamanya golongan muda daripada ketagihan rokok, kata Verrall.

“Rancangan itu juga akan menghalang pembuatan produk tembakau dengan cara yang membuatkan orang ramai ketagihan selain memulakan generasi bebas asap rokok dengan menetapkan perbuatan menjual atau membekal rokok sebagai satu kesalahan selepas tarikh tertentu,” katanya.

“Merokok masih menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah di New Zealand dan menyebabkan satu daripada empat jenis kanser. Kemudaratan berkaitan rokok amat berleluasa di Maori, Pasifik dan masyarakat berpendapatan rendah,” kata Verrall.

Tabiat merokok membunuh kira-kira 4,500 hingga 5,000 orang setiap tahun di New Zealand, dengan kira-kira 12 hingga 13 kematian setiap hari akibat merokok atau terdedah kepada asap rokok, tambahnya.

Pengurus Kumpulan Kesihatan dan Pencegahan Penduduk Kementerian Kesihatan Jane Chambers berkata produk tembakau yang dihisap secara berlebihan memberi kesan kepada orang Maori dan Pasifik.

“Kami mahu memastikan golongan muda tidak mula merokok jadi kami akan menjadikan kegiatan menjual atau membekalkan rokok kepada golongan remaja sebagai satu kesalahan. Apabila undang-undang dikuatkuasa kelak, remaja yang berumur 14 tahun dilarang membeli rokok,” kata Chambers.

Hasil utama pelan tindakan termasuk akan menghapuskan ketaksamaan dalam kadar merokok dan penyakit berkaitan merokok; mewujudkan generasi bebas asap rokok dengan menambah bilangan kanak-kanak dan golongan muda yang kekal bebas asap rokok; dan meningkatkan bilangan orang yang berjaya berhenti merokok.

Satu rang undang-undang, yang akan dibentangkan di hadapan Parlimen pada pertengahan 2022, akan menetapkan jangka masa untuk dasar perundangan itu dilaksanakan secara berperingkat. – Bernama, 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen