Pemilik media Hong Kong bersalah sertai perhimpunan haram


Jimmy Lai dan dua lagi pejuang demokrasi didapati bersalah menyertai perhimpunan haram di Tiananmen pada tahun lalu. – Gambar EPA, 9 Disember, 2021.

MAHKAMAH hari ini memutuskan tokoh terkenal media Hong Kong, Jimmy Lai dan dua lagi pejuang demokrasi bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Tiananmen pada tahun lalu.

Lai, 74, yang juga pemilik syarikat akhbar pro demokrasi Apple Daily yang kini ditutup disabitkan kesalahan itu bersama bekas wartawan, Gwyneth Ho dan peguam terkemuka Chow Hang-tung.

Pihak berkuasa mendakwa puluhan aktivis dan ahli politik pro demokrasi berhubung perhimpunan yang tetap diadakan walaupun dilarang polis, sebagai memperingati mangsa peristiwa berdarah di Tiananmen membabitkan Beijing pada 1989.

Bagaimanapun, hanya Lai, Ho dan Hang-tung meminta dibicarakan di mahkamah, dengan mendakwa mereka hadir menyalakan lilin atas kapasiti peribadi dan tidak “menghasut” orang lain untuk menyertai perhimpunan haram.

Hakim Mahkamah Daerah Amanda Woodcock bagaimanapun menolak hujah mereka sebagai “mengarut” sebelum memutuskan mereka bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk menghasut dan menyertai perhimpunan haram.

“Realitinya ialah sebarang niat untuk keluar dan menyertai perhimpunan itu di Taman Victoria pada malam kejadian, adalah tindakan menentang serta protes terhadap polis,” kata Woodcock dalam penghakimannya. – AFP, 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen