SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken akan melawat Thailand dari 15 hingga 16 Disember untuk mengukuhkan lagi pakatan dan perkongsian strategik Thailand-AS.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata Blinken, yang dalam lawatan sulungnya ke rantau Asia Tenggara, dijadual bertemu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.
Dalam rangka lawatan itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai.
Setiausaha Blinken juga akan sertai majlis makan tengah hari dengan ahli sektor swasta Thailand.
“Lawatan ini akan membuka peluang untuk meningkatkan lagi pakatan Thailand-AS dan perkongsian strategik serta menggalakkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Lawatan Setiausaha Blinken ke Thailand adalah sebahagian daripada rangka perjalanannya ke rantau itu termasuk Malaysia dan Indonesia dari 13-16 Disember.
Jabatan Negara berkata isu serantau termasuk situasi di Myanmar akan dibincangkan pada lawatan itu.
Lawatan Blinken menandakan penglibatan diplomatik Washington yang lebih besar di rantau ini selepas Naib Presiden Kamala Harris, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan Kaunselor Jabatan Negara Derek Chollett, Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman dan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel J. Kritenbrink mengadakan kunjungan ke rantau itu. – Bernama, 9 Disember, 2021.
Komen