Kuasa lesen arak kekal pada kerajaan negeri, kata tengku Zafrul


Chan Kok Leong

Dilaporkan bermula tahun depan, jabatan kastam mewajibkan kedai kopi dan restoran di seluruh negara membuat permohonan bagi mendapatkan lesen arak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

KEMENTERIAN Kewangan tidak membatalkan arahan yang membenarkan kerajaan negeri memberi lesen atau mengecualikan premis runcit daripada menjual minuman beralkohol, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Tuduhan mengatakan MOF membatalkan kuasa ini tidak benar. Seperti yang saya katakan awal tadi, berlaku kekeliruan berkenaan pelaksanaannya di peringkat negeri.

“Walaupun jualan minuman beralkohol terletak di bawah Lembaga Pelesenan, kuasa itu diberikan kepada menteri besar atau ketua menterusi menerusi perintah kerajaan pada 177,” katanya di Parlimen ketika sesi Soal Jawab Menteri pagi ini.

“Sehingga sekarang tidak ada perubahan dibuat terhadap perintah itu dan ia akan kekal,” katanya.

Menteri menjawab soalan Tony Pua (Damansara-PH) berkenaan syarat lesen bir yang dikenakan terhadap kedai kopi.

Semalam, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata arahan menguatkuasakan lesen arak untuk jualan runcit minuman beralkohol dibatalkan.

“Pada 23 November, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat ramsi mengarahkan jabatan kastam membatalkan pelaksanaan mewajibkan lesen arak untuk jualan minuman beralkohol,” kata Wee.

“Ini kerana Kementerian Kewangan pada 1977 memberi kuasa kepada menteri besar dan ketua menteri setiap negeri mengendalikan hal itu menerusi Lembaga Pelesenan di bawah pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Jabatan kastam sebahagian daripada Lembaga Pelesenan setiap negeri dan ia ada kuasa mengarahkan restoran dan kedai kopi memohon lesen arak.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan membatalkan pekeliling dikeluarkan pada 7 April yang mengarahkan pemilik perniagaan memohon lesen arak daripada jabatan kastam sebelum 31 Disember,” katanya yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata arahan itu masih kekal walaupun Kementerian Kewangan akan menyelesaikan itu itu sebelum 31 Disember.

“Perkara ini akan diselesaikan sebelum 31 Disember, 2021. Sehingga tarikh itu, semua perkara berkaitan lesen atau pengecualian adalah berdasarkan kepada kerajaan negeri.”

Dilaporkan bermula tahun depan, jabatan kastam mewajibkan kedai kopi dan restoran di seluruh negara membuat permohonan bagi mendapatkan lesen arak.

Arahan itu bagaimanapun dikritik kerana ia akan menambah beban kewangan kedai kopi dan pemilik restoran yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19. – 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen