Perancis bebaskan suspek Khashoggi, akui tersilap identiti


Jamal Khashoggi, wartawan Washington Post yang berasal dari Arab Saudi, dibunuh di dalam bangunan Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018. – Gambar AFP, 9 Disember, 2021.

PIHAK berkuasa Perancis pada Rabu membebaskan seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi pada 2018 di Istanbul selepas mengesahkan beliau menjadi mangsa kesilapan identiti.

Lelaki yang membawa pasport atas nama Khalid al-Otaibi, meneruskan perjalanan ke Riyadh, kata kedutaan Arab Saudi di Paris dalam satu kenyataan, sambil menambah diplomat melawatnya semasa ditahan.

Polis sempadan Perancis menahan lelaki itu di lapangan terbang utama Paris pada Selasa ketika ingin menaiki penerbangan ke Riyadh.

Sumber polis dan kehakiman pada mulanya memberitahu media Perancis beliau adalah Khalid al-Otaibi yang dikehendaki menurut waran tangkap antarabangsa kerana menjadi sebahagian daripada skuad penyerang yang melakukan pembunuhan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul.

“Pengesahan identiti seterusnya mendapati waran itu bukan terhadapnya,” kata ketua pendakwa raya di Paris, Remy Heitz, dalam satu kenyataan yang mengakui kesilapan itu.

“Beliau sudah dibebaskan,” tambahnya, mematahkan harapan penyokong dan insan tersayang yang menganggap penahanan itu merupakan satu kejayaan besar dalam usaha mereka untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Saya hanya ingin mengatakan akan terus mendapatkan keadilan,” kata tunang Khashoggi, Hatice Cengiz ketika diminta mengulas. – AFP, 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen