SEORANG wartawan Filipina maut ditembak semalam, menjadi mangsa terbaru dalam barisan panjang petugas media terkorban di negara itu.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina (NUJP) dalam satu kenyataan di Facebook berkata Jesus Malabanan ditembak mati di Calbayog City di wilayah Samar.
Filipina antara negara paling berbahaya di dunia bagi wartawan, dan kebanyakan pembunuh tidak dikenakan hukuman.
NUJP ketika mengesahkan berita itu berkata Malabanan merupakan wartawan Manila Standard.
Beliau juga adalah wartawan sambilan Reuters. Malaban pernah membuat liputan mengenai aktiviti membanteras dadah di Filipina pada 2017 untuk agensi berita antarabangsa itu sehingga menang Hadiah Pulitzer.
Polis Calbayog ketika dihubungi AFP enggan memberi butiran lanjut berhubung pembunuhan Malaban.
Hujung Oktober lalu, wartawan dalam talian Newsline Philippines dan penyampai Energy FM, Orlando Dinoy, juga maut ditembak apartmennya di bandar Bansalan, pulau Mindanao.
Menurut NUJP, Dinoy wartawan ke-21 yang terbunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte mengambil alih kuasa pada 2016.
Dalam laporan yang diterbitkan pada Oktober, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York menyenaraikan Filipina di tempat ketujuh paling berbahaya, dengan 13 kes pembunuhan wartawan masih belum selesai. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen