ANGKA kematian akibat letusan Gunung Semeru di Indonesia meningkat kepada 39 orang, kata pihak berkuasa pada Rabu, ketika penyelamat berusaha mengesan lebih banyak mayat dalam keadaan ancaman aktiviti gunung berapi selanjutnya.
Gunung tertinggi di pulau Jawa itu meletus pada Sabtu, mengeluarkan abu dan lumpur panas ke kawasan kampung ketika ribuan penduduk panik meninggalkan kediaman mereka.
“Pasukan mencari dan menyelamat menemui empat lagi mayat hari ini,” kata agensi mencari dan menyelamat Indonesia dalam satu kenyataan.
Seorang lagi mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital pada Selasa, tambahnya, menjadikan jumlah kematian meningkat daripada 34 kepada 39 orang.
Jurucakap agensi berkata 12 orang lagi masih hilang.
Bencana itu menyebabkan kampung dilitupi abu kelabu dan memaksa lebih 4,000 orang menyelamatkan diri ke pusat perlindungan sementara.
Mereka yang dipindahkan mengadu batuk, jangkitan di bahagian dada dan cirit-birit, menurut pegawai perubatan di pusat perlindungan daerah Lumajang.
Manakala yang lain meluahkan rasa syukur kerana berjaya menyelamatkan diri dan disatukan semula dengan insan tersayang.
Sutimah, 45, ketika ditemui di pusat perlindungan berkata suaminya sempat menyelamatkan diri daripada aliran lumpur.
“Suami saya bekerja sebagai pelombong. Jika beberapa saat lambat, beliau akan terbunuh. Rakan sekerjanya, seorang pemandu lori, dihanyutkan lumpur,” katanya kepada AFP.
Pasukan penyelamat mengharungi keadaan berbahaya bagi mencari mayat yang tertimbus di bawah lumpur dan runtuhan rumah.
Ketua agensi gunung berapi negara itu berkata masih terdapat potensi “letusan kedua” dan memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan diri.
Indonesia mempunyai lebih 130 gunung berapi aktif dan terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen