JAWATANKUASA Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan pegawai Asean pada Selasa mengadakan perbincangan yang menumpukan kepada tindak balas krisis dan pengurusan bencana, menurut Sekretariat Asean.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pelbagai isu termasuk idea dan inisiatif untuk meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam pengurusan bencana, bantuan kemanusiaan dan pertukaran maklumat.
Naib presiden ICRC Dr Gilles Carbonnier mengadakan lawatan ke pejabat Sekretariat dan turut bertemu timbalan setiausaha agung Komuniti Politik-Keselamatan Asean, Michael Tene.
Pada mesyuarat itu, Tene turut merakamkan penghargaan atas usaha ICRC terlibat dalam aktiviti seperti Platform Bersama Pengurusan Bencana Asean-ICRC tahunan yang dijalankan sejak 2019.
Selain itu, ICRC turut terlibat dalam Meja Bulat Asean-ICRC mengenai undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan amalan mengenai trend global kontemporari dan cabaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Lawatan Carbonnier susulan mesyuarat peringkat tinggi secara maya antara Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi dan presiden ICRC Peter Maurer pada Jun 2021.
Kunjungan itu juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk mengekalkan momentum kerjasama. – Bernama, 8 Disember, 2021.
Komen