Bom petrol dibaling ke vila Suu Kyi


Gambar menunjukkan pembantah mengangkat plakad wajah Suu Kyi yang diconteng menyerupai diktator Hitler. Suu Kyi kini dikecam hebat seluruh dunia kerana gagal bertindak dalam pembantaian etnik Rohingya yang menurut PBB ‘contoh buku teks pembersihan etnik’. – Gambar AFP, 1 Februari, 2018.

SEBUAH bom petrol telah dilempar ke kawasan vila tepi tasik milik pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi ketika beliau tidak ada di rumah, kata jurucakap kerajaan Myanmar.

“Ianya bom petrol,” kata Zaw Htay pada AFP, tanpa memberi butiran lanjut motif serangan itu.

Bom petrol itu hanya memberi kerosakan kecil, namun serangan terhadap vila yang diduduki Suu Kyi sepanjang dikenakan tahanan dalam rumah itu sebenarnya membawa satu kesan simbolik yang besar.

Suu Kyi kerap dikutuk masyarakat antarabangsa kerana beliau gagal untuk bercakap atau mempertahankan masyarakat Islam Rohingya Myanmar.

Hampir 700,000 Rohingya telah lari dari serangan ganas tentera di Rakhine, menjadi pelarian di Bangladesh sejak Ogos.

Berlainan pula di Myanmar, di mana Suu Kyi masih dianggap sebagai heroin oleh masyarakat bermajoriti pengamal Buddha yang mengangkatnya sebagai “The Lady.”

Rata-rata penduduk di Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram “Bengali.”

Ketika serangan bom petrol itu, Suu Kyi berada di Naypyidaw dan dijangka akan berada di Parlimen untuk menyambut ulang tahun kedua kerajaan NLD memerintah. – AFP, 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen