Rusia, Asean akan terima pakai strategi terkini perangi keganasan


Rusia sedang bekerjasama dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk mengemas kini pelan kerja bagi menangani jenayah rentas negara dan memerangi keganasan. – Gambar EPA, 8 Disember, 2021.

RUSIA dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) berhasrat untuk menerima pakai strategi terkini untuk memerangi keganasan, kata Wakil Tetap Rusia ke Asean Alexander Ivanov kepada media.

“Kami sedang bekerjasama dengan Asean untuk mengemas kini pelan kerja bagi menangani jenayah rentas negara dan memerangi keganasan,” katanya menurut laporan Agensi Berita Rusia (TASS).

Beliau menambah: “Kami berharap untuk menerima pakai strategi itu tahun depan.” Ivanov juga menyebut mengenai pelancaran rundingan mengenai isu keselamatan yang melibatkan pakar peringkat tinggi dari negara-negara Asean dan Rusia.

Rundingan pusingan pertama berlangsung tahun ini, katanya.

“Kementerian Dalam Negeri Rusia dan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan turut mengatur kursus latihan untuk pakar Asean pada setiap musim luruh,” kata utusan itu.

“Tahun ini, mereka memfokuskan kepada usaha bersama menentang penyeludupan dadah, dengan pemimpin Rusia dan Asean menerima pakai kenyataan pada 28 Oktober,” kata Ivanov.

“Satu kerjasama dijalankan susulan pelancaran inisiatif Rusia mengenai rundingan dan dialog antara pakar dari Rusia dan negara-negara Asean mengenai penggunaan selamat teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya. “Pusingan pertama dialog itu sudah berlangsung,” tambah Ivanov.

“Kerjasama kami berkembang pada kadar yang agak pesat dan atas sebab tertentu, kerana negara-negara Asean melihat Rusia sebagai rakan kongsi yang membina dan tidak mempunyai agenda lain atau bersikap pilih kasih,” kata utusan itu.

“Kerjasama dengan sepuluh negara anggota sedang dijalankan dalam pelbagai bidang, merangkumi  politik, keselamatan, ekonomi, perdagangan, dan pertanian serta hubungan kemanusiaan,” katanya. – Bernama, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen