20 pelajar di Bangladesh dihukum mati kerana membunuh


BANGLADESH menjatuhkan hukuman mati ke atas 20 pelajar universiti hari ini kerana membunuh seorang pemuda yang mengkritik kerajaan pada 2019 di media sosial.

Mayat Fahad, 21, yang dipukul ditemui di asramanya beberapa jam selepas dia menulis catatan di Facebook yang menyelar Perdana Menteri Sheikh Hasina kerana menandatangani perjanjian perkongsian air dengan India.

Mangsa dipukul dengan kayu kriket dan objek tumpul lain selama enam jam oleh 25 rakan pelajar yang merupakan ahli sayap pelajar Liga Awami yang memerintah Liga Chhatra Bangladesh (BCL).

“Saya gembira dengan keputusan ini. Saya harap hukuman akan dilaksanakan segera,” kata bapa Fahad, Barkat Ullah kepada pemberita di luar mahkamah. 

Sementara lima lagi pelaku dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Ketua pendakwa raya Mohammad Abu Abdullah Bhuiyuan memberitahu AFP pembunuhan itu sudah dirancang. 

Kesemua mereka yang dijatuhkan hukuman mati berusia antara 20 dan 22 tahun ketika kejadian dan merupakan penuntut di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh bersama Fahad.

Tiga daripada defendan masih bebas manakala selebihnya berada di mahkamah. – AFP, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen