Keputusan mahkamah rayuan tiada kaitan kes Najib lain, kata Shafee


Ragananthini Vethasalam

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak dalam kes SRC International tidak ada kaitan dengan perbicaraan lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

KEPUTUSAN mahkamah rayuan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd tidak akan mempunyai kaitan dengan perbicaraan lain beliau, kata Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam bekas perdana menteri itu berkata keputusan mahkamah rayuan hari ini tidak relevan dengan perbicaraan lain.

“Malah kita tidak boleh membawa perkara sabitan atau unsur sabitan ini ke mana-mana perbicaraan lain kerana ia tidak relevan. Jadi ia tidak ada kaitan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Beliau berharap hakim yang mempengerusikan kes lain akan mengekalkan kebebasan mereka dan tidak berat sebelah.

Najib juga berdepan perbicaraan atas lebih 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Sementara itu Shafee mengkritik keputusan itu dengan mengatakan bukti baharu berkaitan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil yang dipercayai bebas, tidak dipertimbangkan oleh mahkamah.

Beliau merujuk kepada RM64.4 juta yang merupakan sebahagian daripada dana dan aset RM20.5 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Cutting Edge Industries Ltd, sebuah firma yang dikaitkan dengan suami Zeti.

Shafee juga berkata beliau “amat yakin” keputusan Mahkamah Rayuan akan dibatalkan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya katakan kepada Mahkamah Rayuan bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi adalah tidak cekap kerana terdapat banyak yang kami fikir hakim Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan undang-undang dan kesilapan fakta.

“Saya sangat yakin ketika itu dan saya sangat yakin sekarang (dalam peluang kami),” katanya.

Beliau menambah terdapat banyak kes di mana keputusan Mahkamah Tinggi yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bersama-sama dengan usul penangguhan pelaksanaan hukuman. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen