Ganja dihalalkan, jenayah berkait akan dibersihkan di San Francisco


Menurut laporan The San Francisco Chronicle, langkah San Francisco itu akan membantu pesalah berkait ganja yang mana sebelum ini telah mengganggu prospek kerjaya mereka selain susah untuk mendapat bantuan kerajaan. – Gambar AFP, 1 Februari, 2018.

BANDAR San Francisco akan melakukan pemutihan salah laku jenayah berkait dengan ganja yang berlaku sejak lebih 40 tahun lalu, seminggu selepas negerinya California menghalalkan pokok herba itu.

Undang-undang menghalalkan ganja untuk tujuan rekreasi bermula awal Januari lalu sekali gus menjadikan negeri itu sebagai pasar ganja halal terbesar dunia.

Menurut laporan The San Francisco Chronicle, langkah itu akan membantu pesalah berkait ganja yang mana sebelum ini telah mengganggu prospek kerjaya mereka selain susah untuk mendapat bantuan kerajaan.

“Walaupun dasar dadah di peringkat persekutuan mengundur ke belakang, kali ini, sekali lagi San Francisco mengambil langkah ke hadapan bagi memperbetulkan kerosakan dan salah faham akibat perang terhadap dadah yang telah membelenggu negara dan masyarakat khasnya,” kata peguam daerah, George Gascon.

“Sebelum ini, kita tak dapat bezakan antara bahaya dan gangguan (awam) yang telah memesongkan kefahaman, yakni tunjang utama masyarakat kita.

“Sabitan jenayah boleh menjadi penghalang untuk mendapatkan faedah kerja, perumahan dan lain-lain. Jadi, daripada menunggu masyarakat bertindak, kita yang mengambil langkah dahulu untuk masyarakat,” katanya.

Pejabat peguam daerah akan meneliti 4,940 salah laku jenayah.

Lapan negeri Amerika Syarikat termasuk Colorado dan ibu negara persekutuan Washington telah pun menghalalkan ganja untuk kegunaan rekreasi.

Manakala 30 negeri lain telah menghalalkan ganja untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, sesetengah negeri lain, masih percaya yang ganja adalah “pintu” untuk dadah yang lebih bahaya seperti heroin atau kokain. – AFP, 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen