Najib sengaja tutup mata tentang RM42 juta dalam akaunnya, kata mahkamah


Raevathi Supramaniam

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkata Najib Razak sengaja tidak mahu sahkan asal usul wang itu, malah beliau kelihatan tidak ada masalah untuk guna wang tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

NAJIB Razak memilih untuk berdiam diri mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkata Najib sengaja tidak mahu sahkan asal usul wang itu, malah beliau kelihatan tidak ada masalah untuk guna wang tersebut.

“Pendapat perayu bahawa beliau ada alasan munasabah untuk tidak syak apa-apa yang tidak diingini dalam aliran RM42 juta ke dalam akaunnya agak tidak kena,” kata hakim dalam penghakiman ringkasnya.

“Perayu sengaja tutup mata dan memilih untuk tidak sahkan asal usul dana itu, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada orang lain, pada masa yang sama membelanjakan RM42 juta untuk tujuan dan kepentingannya sendiri.”

Panel tiga hakim yang diketuai Karim menyampaikan keputusan sebulat suara dalam prosiding secara dalam talian melalui Zoom disebabkan Najib dan peguamnya menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat Covid-19.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas tujuh pertuduhan berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan ini hari ini.

Karim berkata jejak wang itu jelas menunjukkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta telah dipindahkan daripada SRC International dan ke dalam akaun peribadi Najib.

Untuk membuatkan wang itu sukar dikesan, wang itu telah disalurkan melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd sebelum mendarat dalam akaun Najib.

“Perayu tidak pernah bangkitkan sebarang aduan kepada bank mengenai dana yang dikreditkan secara salah ke dalam akaunnya.

“Beliau cukup berpuas hati menerima dan menggunakan dana itu mengikut kehendaknya. Tidak pernah ditunjukkan yang penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC atau perniagaannya,” kata hakim itu.

Antara perbelanjaan yang dibelanjakan Najib ialah mengeluarkan 17 keping cek berjumlah RM30.8 juta.

Antara 25 April 2012 dan 19 Jun 2013, beliau mengeluarkan enam keping cek kepada Umno Kedah berjumlah RM15 juta.

Beliau juga mengeluarkan cek bernilai RM240,000 kepada Vital Spire untuk menjalankan portal berita malaysiandigest.com pada 2015.

Najib juga telah memasukkan dua keping cek bernilai RM9.5 juta ke dalam akaun bank peribadi milik peguamnya Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengeluarkan cek RM77,300 kepada Syadillah Enterprise yang ditugaskan untuk membina dua menara air dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di rumahnya di Pekan.

Najib juga menggunakan dana SRC untuk membeli barang kemas dan percutian mewah.

Beliau telah menggunakan 750,000 euro (RM3.2 juta) melalui kad kreditnya untuk membeli barang kemas daripada tukang emas Switzerland-Itali, De Grisogono.

Secara keseluruhan, Najib menggunakan hampir RM4 juta melalui kad kreditnya.

Bakinya dibelanjakan di butik Chanel di Hawaii dan Hotel Shangri-La di Bangkok, Thailand.

Semua perbelanjaan ini didedahkan semasa perbicaraan yang berlangsung dari 3 April 2019 hingga 22 Julai 2020. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen