SEORANG lelaki rakyat Jerman membunuh isteri dan tiga anaknya sebelum menembak mati dirinya sendiri, meninggalkan nota yang mengatakan beliau bimbang dipenjarakan kerana memalsukan pas kesihatan Covid-19, kata pendakwa raya pada Selasa.
Kesemua lima mayat ditemui di rumah keluarga itu di Koenigs Wusterhausen di luar Berlin pada Sabtu, kata pendakwa raya Brandenburg.
Bapa berusia 40 tahun itu berkata dalam nota itu yang beliau mendapatkan pas vaksin koronavirus palsu untuk isterinya.
Bagaimanapun, majikannya mengetahui penipuan itu dan merancang untuk menyiasat, jurucakap pendakwa raya Cottbus Gernot Bantleon memberitahu AFP.
“Bapa itu menjangkakan beliau dan isterinya akan dipenjarakan dan anak-anak diambil,” kata Bantleon.
Penyiasat percaya lelaki itu membunuh kanak-kanak berusia 4, 8 dan 10 tahun serta isterinya berusia 40 tahun sebelum membunuh diri.
Jiran menghubungi perkhidmatan kecemasan selepas menemui mayat di dalam rumah.
Bedah siasat yang sedang dijalankan setakat ini mendedahkan terdapat kesan tembakan di kepala, kata pendakwa raya.
Pihak berkuasa Jerman berulang kali memberi amaran mengenai penyebaran sijil vaksin Covid-19 palsu, di negara yang dilanda gelombang koronavirus teruk berbanding negara jirannya. – AFP, 8 Disember, 2021.
Komen