Najib fail rayuan di Mahkamah Persekutuan, kata peguam


Hailey Chung Wee Kye

Penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul di luar Istana Kehakiman di Putrajaya pada 8 Disember 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang gagal dalam usaha mengenepikan sabitannya di Mahkamah Rayuan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee memberitahu Mahkamah Rayuan yang afidavit dan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan akan difailkan dalam masa setengah jam akan datang.

Usul penangguhan pelaksanaan hukuman juga difailkan, katanya.

Peguam bela Farhan Read meminta Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan syarat sama yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

Najib kini diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Mahkamah Rayuan membenarkannya.

Jika sebaliknya, Najib tidak dapat meneruskan sebagai ahli Parlimen Pekan, jawatan yang disandangnya sejak 1976.
 
Ahli politik Umno itu juga akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Mahkamah ditangguhkan pada 11.15pagi dan semua pihak keluar daripada prosiding yang disiarkan secara langsung kepada pemberita di dewan media di Mahkamah Rayuan.

Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kemudian, ketua pendakwaraya V. Sithambaram memberitahu pemberita bahawa orang ramai dijangka mengetahui keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai sabitan Najib dalam tempoh enam hingga sembilan bulan. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen