RUU IPCC akan dibentang pada sidang Parlimen kali ini 


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yassin berkata Rang Undang-Undang IPCMC akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang telah lama tertangguh akan dibentangkan untuk bacaan kedua persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yassin hari ini.

“RUU IPCC dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 di Dewan Rakyat. Bagaimanapun bacaan kali kedua yang dijadualkan pada 27 Ogos 2020 ditangguhkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Rang undang-undang itu akan dibentangkan dalam mesyuarat ini dan ia disenaraikan di nombor 67  Aturan Urusan Mesyuarat,” tambah ahli Parlimen Ranau itu.

Beliau menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pulai-PH) mengenai status rang undang-undang itu.

Salahuddin kemudian meminta jaminan kerajaan bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan dalam sesi kali ini berikutan pendedahan oleh pegawai kanan polis mengenai salah laku yang telah berlaku dalam pasukan itu.

Jonathan memberi jaminan bahawa tiada perubahan pada rancangan untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan dalam mesyuarat semasa.

Rang undang-undang IPCC menggantikan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

IPCMC telah disyorkan pada tahun 2005 oleh suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti salah laku polis. Ia ditubuhkan pada 2004 berikutan beberapa kematian dalam tahanan dan penderaan dalam tahanan polis.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan untuk semakan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC). Kerajaan Perikatan Nasional kemudiannya mengemukakan IPCC yang menurut pengkritik sebagai versi kecil rang undang-undang terdahulu.– 8 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen